Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA ayat kursi BERJAYA MENCAPAI 91 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

1  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0133.
Dari Jabir bin Abdullah Al Anshari r.a. (seorang sahabat Rasulullah saw.), katanya Rasulullah pernah menceritakan tentang putusnya wahyu. Sabda beliau,"Pada suatu ketika, sedang aku berjalan tiba-tiba aku mendengar suara dari langit. Kerana itu ku angkat pandangan ku (ke arah suara tersebut), maka nampak oleh ku malaikat yang pernah datang kepada ku di Gua Hira' sedang duduk di kursi antara langit dan bumi." Sabda Rasulullah saw. selanjutnya, "Dengan perasaan terkejut bercampur takut, aku segera pulang. Sesampai di rumah, aku berkata kepada Khadijah, "Selimuti aku! Selimuti aku!" Khadijah pun segera menyelimuti ku. Sedang aku berselimut itu, Allah Tabaraka wa Ta'ala menurunkan ayat : "Hai, orang yang berselimut! Bangunlah, dan berikan peringatan! Dan Tuhan engkau agungkanlah! Dan pakaian engkau bersihkanlah (sucikanlah)! Dan perbuatan dosa jauhilah!" (Al Muddatstsir:1-5). Sesudah itu wahyu turun berturut-turut."

2  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2288.
Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah saw. membaca ayat : "Dialah yang menurunkan Kitab (Al Quran) kepada mu. Di antara isinya terdapat ayat-ayat maklumat (yang jelas dan tegas maksudnya), dan yang lain (ayat-ayat) mutasyabihat (samar-samar). Adapun orang-orang yang hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyabihat, untuk menimbulkan fitnah (bencana) dan untuk mencari-cari takwilnya. Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan hanya Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat mutasyabihat, semuanya itu turun dari Tuhan kami " Dan tidak dapat memahaminya kecuali orang-orang yang cerdas. " (Ali 'Imran, 3 : 7). Kata 'Aisyah, maka bersabda Rasulullah saw., Apabila tuan-tuan melihat orang-orang yang mengikuti ayat-ayat mutasyabihat itulah orang-orang yang dimaksud Allah dalam ayat itu. Maka jauhilah mereka:"

3  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0403.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. tidak pernah membacakan Quran kepada Jin, dan beliau tidak pernah pula melihatnya. Pada suatu ketika Rasulullah saw. pergi dengan beberapa orang sahabat ke pasar 'Ukazh. Ketika itu syaitan-syaitan, tidak dapat lagi mendengar berita dari langit, kerana mereka dilontari dengan nyala api (meteor) sehingga mereka terpaksa kembali kepada kaumnya. Kaumnya bertanya, "Mengapa kalian kembali, apa yang terjadi?" Jawab mereka, "Berita dari langit tertutup untuk kita. Kami dilontari dengan nyala-nyala api." Kata kaumnya, "Tentu ada peristiwa yang menyebabkannya. Kerana itu pergilah ke Timur dan ke Barat, carilah sebab-sebab kenapa berita langit tertutup untuk kita ketahui." Lalu mereka bertaburan ke seluruh pelusuk bumi, ke Timur dan ke Barat, mencari sebab-sebab tertutupnya berita langit itu. Ketika rombongan yang menuju ke Tihamah sampai di Nakhlah, hendak terus ke Pasar 'Ukazh, tiba-tiba mereka melihat Rasulullah saw. sedang solat Subuh berjemaah dengan para sahabat beliau. Tatkala mereka mendengar ayat-ayat Qur'an dibaca Nabi saw. dalam solat, mereka dengarkan baik-baik, sehingga mereka berkesimpulan, inilah kiranya yang telah menutup kita untuk mengetahui berita-berita dari langit. Kerana itu mereka pulang kepada kaumnya. Lalu mereka melapar, "Hai, kaum kami! Kami telah mendengar ayat-ayat Qur'an yang sangat mengagumkan, yang membimbing kami ke jalan yang lurus. Kerana itu kami iman dengannya, dan kami tidak akan mempersekutukan Tuhan kami dengan yang lain-lain." lalu diturunkan Allah' Azza wa Jalla kepada Nabi-Nya, Muhammad saw. ayat: "Qul uhiya ilayya annahustama'a nafarun minal jinni" (Al Jinn : 1) (Katakanlah hai Muhammad! Telah diwahyukan kepada ku, bahwa sekelompok jin telah mendengar ayat-ayat Qur'an )

4  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2520.
Dari Thariq bin Syihab r.a. katanya seorang lelaki Yahudi datang kepada Khalifah 'Umar seraya berkata, "Ada sebuah ayat dalam Kitab Anda (Al Quran) yang selalu Anda baca, seandainya ayat itu turun kepada kami kaum Yahudi, nescaya kami jadikan hari turun ayat itu sebagai hari besar kami." Tanya 'Umar, "Ayat apa itu?" Jawabnya, "Hari ini Kusempurnakan bagi mu agamamu dan Ku-sempurnakan atasmu nikmatKu dan Aku rela Islam menjadi agamamu." (Al Maidah, 5 :3). Kata 'Umar, "Aku tahu hari dan tempat ayat itu diturunkan. Ayat itu diturunkan kepada Raaulullah saw. di 'Arafah pada hari Jumaat."

5  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0776.
Dari Ubay bin Ka'ab r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Hai, Abu Mundzir! Tahukah kamu, ayat manakah di antara ayat-ayat Quran yang ada padamu yang paling utama?" Jawab Abu Mundzir, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu." Tanya beliau, " Hai, Abu Mundzir! Tahukah karib, ayat manakah di antara ayat-ayat Quran yang ada padamu utama?" Jawab ku, "Allahu la ilaha ilia huwal hayyul qayyum " (Al Baqarah : 225). Lalu beliau menepuk dadaku sambil berkata, "Demi Allah, semoga dadamu penuh dengan ilmu, hai Abu Mundzir."

6  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0744.
Dari Hudzaifah r.a., katanya: "Pada suatu malam, aku solat mengikuti Nabi saw. Lalu beliau membaca surat Al Baqarah. Aku mengira beliau akan rukuk setelah bacaan sampai seratus ayat, tetapi ternyata beliau terus saja. Setelah itu ku kira beliau akan mencukupkan surat Al Baqarah itu saja untuk satu rakaat, ternyata beliau meneruskannya dengan surat An Nisa', sesudah itu menyambungnya pula dengan surat Ali 'Imran. Bila beliau membaca ayat tasbih, beliau tasbih, dan bila beliau membaca ayat yang memerintahkan supaya bermohon, beliau bermohon, dan apabila beliau membaca ayat ta'awwudz (ayat yang memerintahkan supaya berlindung dari bencana), beliau memohon perlindungan. Kemudian beliau rukuk. Dalam rukuk beliau membaca: "Subhana rabbiyal 'azhim." (Maha Suci Tuhan ku yang Maha Agung). Dan lama beliau rukuk, hampir sama lamanya dengan berdirinya. Kemudian beliau membaca: 'Sami'allahu liman hamidah." (Maha mendengar Allah akan orang yang memuji-Nya). Kemudian beliau berdiri dan lamanya berdiri lebih kurang sama dengan lamanya rukuk. Sesudah itu beliau sujud, dan dalam sujud beliau membaca: "Subhana robbal a'la." (Maha Suci Tuhan ku Yang Maha Tinggi). Lama beliau sujud hampir sama dengan lamanya berdiri."

7  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1681.
Dari Bara' bin 'Azib r.a., katanya: "Pada suatu ketika, lewat di hadapan Nabi saw. seorang Yahudi yang dicat hitam dan didera (selaku hukuman berzina baginya). Lalu beliau panggil mereka seraya bertanya, "Beginikah hukuman zina yang kalian dapat dalam kitab Taurat kalian?" Jawab mereka, "Ya, benar!" Lalu Nabi saw. memanggil beberapa orang lelaki yang tergolong pendeta mereka. Nabi saw. berkata kepada "Ku harap engkau mahu bersumpah dengan Allah yang telah menurunkan kitab Taurat kepada Musa, betulkah begini caranya hukuman zina yang kamu dapati dalam Kitab Taurat-mu itu?" Jawabnya, "Tidak! Seandainya Anda tidak menyumpah ku dengan nama Allah, aku tidak akan mengatakan yang sebenarnya kepada Anda. Yang kami ketahui, dalam Kitab Taurat hukumannya ialah hukuman rejam. Tetapi biasanya hukuman itu tidak berlaku bagi pembesar-pembesar kami. Jika yang tertangkap itu seorang pembesar, kami biarkan saja; tetapi bila yang tertangkap itu seorang rakyat kecil, kami tegakkan hukum sesuai dengan Taurat. Akhirnya kami bermusyawarah membicarakan hukum yang dapat kami tegakkan bagi pembesar dan rakyat biasa. Kami putuskan, menghitamkan tubuh dan mendera pelaku zina sebagai ganti hukuman rejam." Selesai orang itu berkata, maka Rasulullah saw. bermunajat kepada Allah swt., "Wahai Allah! Sesungguhnya akulah, orang yang pertama-tama menghidupkan kembali perintah-Mu setelah mereka hapus perintah itu." Lalu beliau perintahkan supaya Yahudi yang melakukan zina itu dihukum dengan hukuman rejam. Sesudah itu Allah 'Azza Wa Jalla menurunkan ayat, "Hai, Rasul! Janganlah kamu sedih kerana orang-orang yang segera menjadi kafir.- hingga firman-Nya - Jika diberikan ini kepada mu, maka terimalah. "(Al Maidah, 5:41). Kata orang-orang Yahudi, "Datanglah kalian kepada Nabi Muhammad saw., jika beliau memutuskan hukuman bagi mu dengan menghitamkan tubuh dan didera, terimalah! Tetapi jika dia berfatwa kepada mu dengan hukuman rejam, waspadalah!" Maka Allah Ta'ala turunkan pula ayat: "Barangsiapa menghukum tidak sesuai dengan perintah Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir." (Al Maidah, 5:44). Kemudian ayat: "Barangsiapa menghukum tidak sesuai dengan perintah Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim." (Al Maidah, 5:45). Dan ayat: "Barangsiapa menghukum tidak sama; dengan perintah Allah, maka mereka itu adalah orang-orang fasik. " (Al Maidah, 5:47).

8  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1549.
Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika ayat-ayat akhir surah Al Baqarah turun, Rasulullah saw. segera keluar, lalu dibacakannya ayat-ayat itu kepada orang ramai. Kemudian beliau larang melakukan perdagangan (jual-beli) khamar."

9  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1680.
Dari Nafi' r.a., katanya 'Abdullah bin 'Umar mengabarkan kepadanya bahawa seorang lelaki dan seorang perempuan Yahudi dihadapkan orang kepada Rasulullah saw. kerana keduanya dituduh berzina. Rasulullah saw. pergi menemui orang-orang Yahudi itu dan melakukan pemeriksaan terhadap mereka. Tanya beliau, "Apa yang kalian ketahui dalam Taurat tentang hukuman bagi orang yang berzina?" Jawab mereka, "Kami lumuri muka mereka dengan arang, kemudian kami naikkan keduanya ke atas kenderaan dengan posisi berbelakang-belakangan lalu diarak keliling kota." Jika kalian benar, cuba perlihatkan kepada ku Kitab Taurat mu itu. Lalu mereka bawa Kitab Taurat dan mereka baca di hadapan beliau. Ketika bacaannya sampai kepada ayat rejam, pemuda yang membaca meletakkan tangannya menutupi ayat rejam, dan lewat ke bacaan ayat berikutnya. Tetapi 'Abdullah bin Salam yang ketika itu mendampingi Rasulullah saw. berkata, "Ya, Rasulullah! Suruhlah dia mengangkat tangannya. Ketika pemuda itu mengangkat tangannya, ternyata di bawah tangannya itu terdapat ayat rejam. Rasulullah saw. memerintahkan supaya keduanya dihukum rejam. Maka direjamlah keduanya. Kata 'Abdullah bin 'Umar, "Aku ikut merejam keduanya. Ku lihat yang lelaki bersikap melindungi yang perempuan dari lemparan-lemparan batu dengan tubuhnya."

10  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0401.
Ibnu 'Abbas r.a. berkata tentang turunnya ayat: "Wa la tajhar bisolatika wa la tukhafit biha " (Isra : 110) ( dan janganlah kamu mengeraskan suara di dalam solat, dan jangan pula merendahkannya) katanya ayat itu turun ketika Rasulullah saw. berada di Mekah. Biasanya beliau membaca ayat Quran dalam solat berjemaah dengan para sahabat, ialah dengan mengeraskan suara. Kerana itu bila terdengar oleh kaum musyrikin, mereka mencemuh Al Quran, mencemuh Allah yang menurunkannya, dan mencemuh Rasulullah yang membawanya. Maka berfirman Allah Ta'ala kepada Nabi-Nya, "Wa La tajhar hi solatika " Janganlah kamu mengeraskan suara ketika membaca ayat dalam solat, sehingga terdengar oleh orang-orang musyrik itu, dan jangan pula terlalu direndahkan ketika membacanya di hadapan para sahabatmu sehingga tidak kedengaran oleh mereka, tetapi perdengarkanlah kepada mereka dengan suara sedang, sekadar terdengar oleh para sahabatmu itu.